ad

Lokasi tumpuan, berisiko banjir antara fokus aset, pasukan khas bomba

25 Nov 2025, 11:00 AM
Lokasi tumpuan, berisiko banjir antara fokus aset, pasukan khas bomba
Lokasi tumpuan, berisiko banjir antara fokus aset, pasukan khas bomba
Lokasi tumpuan, berisiko banjir antara fokus aset, pasukan khas bomba
Lokasi tumpuan, berisiko banjir antara fokus aset, pasukan khas bomba
Lokasi tumpuan, berisiko banjir antara fokus aset, pasukan khas bomba

SHAH ALAM, 25 NOV: Sebanyak 291 lokasi di seluruh Selangor dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir terutama sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, data itu diperoleh daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan menjadi rujukan utama agensi penyelamat dalam menghadapi musim tengkujuh.

“Daripada jumlah itu, Klang mencatat jumlah tertinggi dengan 64 lokasi, diikuti Hulu Langat (42), Petaling (38), Gombak (37), Sepang (35), Kuala Selangor (32), Hulu Selangor (18), Kuala Langat (17) dan Sabak Bernam (8),” katanya ketika hadir ke program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Sementara itu, 68 lokasi turut dikenalpasti sebagai kawasan tumpuan atau hotspot antaranya di Klang (21 lokasi), Hulu Langat (10), Sepang (9), Gombak (9), Petaling (8), Kuala Selangor (6), Kuala Langat (3) dan Hulu Selangor (2).

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar

Ahmad Mukhlis memaklumkan seramai 1,752 anggota bomba ditugaskan sepanjang tempoh MTL termasuk 461 anggota pasukan khas serta 47 daripada Unit Penyelamat Di Air (PPDA).

“JBPM Selangor mempunyai tiga PPDA iaitu di Balai Bomba Shah Alam, Klang dan KLIA. Pasukan ini memberi tumpuan kepada operasi menyelamat mangsa banjir dan kejadian kepala air,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, Selangor menjadi negeri dengan panggilan kecemasan tertinggi iaitu hampir 30 peratus, justeru agihan aset turut diperhebatkan di kawasan berisiko tinggi.

Antara aset digerakkan termasuk 77 jentera Fire Rescue Tender (FRT), 17 lori tangki dan 85 unit bot pelbagai jenis, manakala penggunaan dron taktikal turut diaplikasikan bagi pemantauan kawasan banjir.

Pengarang Berita Media Selangor Tramizi Hussin bersama Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor pada 21 November 2025. Foto Media Selangor

“Pemantauan berterusan amat penting kerana cabaran operasi berbeza mengikut lokasi sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya.

Menurutnya, sistem perparitan tidak mencukupi atau tersumbat menyukarkan laluan jentera di kawasan bandar, manakala di luar bandar pula cabaran melibatkan jalan terputus dan risiko tanah runtuh.

Selangor antara negeri dilanda banjir dan setakat jam 11.30 pagi tadi, 2,784 mangsa ditempatkan di 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan penduduk sekitar Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling dan Klang.

Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir di beberapa lokasi di Selangor selepas hujan lebat melanda negeri itu pada 24 November 2025.