SHAH ALAM, 25 NOV: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meningkatkan kesiapsiagaan sepanjang Monsun Timur Laut, susulan amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia menjangkakan monsun kali ini membawa antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan yang berpotensi menyebabkan banjir, angin kencang serta laut bergelora terutama di perairan Laut China Selatan dan pantai timur Semenanjung.
APMM dalam kenyataan berkata angin timur laut kuat dan keadaan laut bergelora mampu menghasilkan ombak besar serta peningkatan paras air laut, sekali gus membahayakan komuniti maritim.
“Semua penggiat maritim terutama nelayan diingatkan agar sentiasa memantau amaran cuaca, menangguhkan aktiviti laut jika amaran angin kencang atau ombak tinggi dikeluarkan serta menilai tahap keselamatan sebelum turun ke laut,” katanya.
Penduduk pesisir pantai juga dinasihatkan berwaspada terhadap kemungkinan limpahan air laut dan banjir kilat sepanjang tempoh monsun.
APMM menegaskan pihaknya kekal pada tahap kesiapsiagaan penuh melalui rondaan dan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan perairan serta komuniti maritim terpelihara.
Sebarang kecemasan maritim boleh dilaporkan ke talian NG 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia terdekat.





