ad

KKM kesan dua kes jangkitan bakteria libatkan mangsa banjir di PPS

25 Nov 2025, 6:27 AM
KKM kesan dua kes jangkitan bakteria libatkan mangsa banjir di PPS

SHAH ALAM, 25 NOV: Dua kes penyakit jangkitan bakteria membabitkan gejala Gastroenteritis Akut (AGE) dikesan dalam kalangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.

Gastroenteritis Akut (AGE) ialah keradangan pada saluran penghadaman (perut dan usus kecil) yang biasa dikenal pasti dengan gejala seperti cirit-birit, muntah dan sakit perut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata setakat semalam sebanyak 629 mangsa sudah diperiksa di semua PPS, lapor Berita Harian.

Katanya, terdapat 78 kes jangkitan pernafasan akut, jangkitan kulit (16), acute gastroenteritis (dua) dan satu kes konjuktivitis dikesan dalam kalangan mangsa.

"Bagaimanapun, tiada mangsa yang dirujuk ke hospital dan tiada kejadian wabak penyakit dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir di PPS.

"Sebanyak 48 Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) membabitkan Rapid Response Team (RRT) Perubatan dan 32 RRT Kesihatan sudah dimobilisasi ke PPS yang dibuka untuk memberi perkhidmatan perubatan dan pencegahan penyakit kepada mangsa banjir," katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Dzulkefly, turut memberi jaminan bahawa stok ubat-ubatan adalah mencukupi sekurang-kurangnya untuk tiga bulan.

"Kementerian Kesihatan (KKM) juga sudah memastikan logistik dan bekalan dikemas kini, termasuk aset, peralatan dan kenderaan," katanya.

Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, beliau sempat turun ke kawasan sendiri untuk melawat 954 mangsa banjir, pagi tadi.

Menerusi pelan kesihatan komprehensif KKM, beliau berkata, pihaknya akan menjamin kesinambungan perkhidmatan supaya tidak terjejas.

"Kita menjangkakan lebih buruk daripada yang disaksikan. Ini pun sudah kita nampak tren yang semakin buruk.

"Oleh itu, kita akan pastikan fasiliti kesihatan, sama ada di klinik dan juga hospital berada pada tahap kesiap-siagaan yang optimum, dengan tenaga kerja, peralatan serta logistik yang mencukupi supaya kita tidak terjejas untuk menerusian perkhidmatan," katanya.

Dr Dzulkefly, berkata setakat ini terdapat sembilan fasiliti kesihatan terjejas banjir iaitu tiga di Kelantan, empat di Perak dan dua di Perlis.

Daripada jumlah itu, katanya, tujuh adalah Klinik Desa, satu Klinik Kesihatan dan satu fasiliti fisioterapi.

"Sebanyak lapan fasiliti kesihatan tidak beroperasi, tetapi perkhidmatan dipindahkan ke fasiliti kesihatan yang terdekat dan tidak terjejas banjir manakala satu fasiliti kesihatan masih beroperasi," katanya.