SHAH ALAM, 25 NOV: Kerajaan Negeri bakal menawarkan insentif kepada pemain industri yang menyokong agenda kelestarian alam negeri, Program Selangor Kitar Semula (SELKitar) sebagai langkah menggalakkan lebih banyak penyertaan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tawaran sama ada dari pentadbiran atau pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan membantu negeri meningkatkan peratus kadar sasaran kitar semula seperti digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
“Saya alu-alukan usaha rakan-rakan strategik ini. Kita akan lihat apa cadangan atau inisiatif untuk diberikan kepada pihak terlibat ini kerana mereka menggunakan peruntukan sendiri.
“Mungkin ini boleh ditimbalkan dengan beberapa kelebihan atau insentif lain untuk menggalakkan lebih ramai pihak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan program SELKitar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program SELKitar peringkat negeri serta menyempurnakan gimik penyerahan lori operasi program berkenaan kepada PBT terlibat di bangunan pentadbiran negeri (SUK) hari ini.
Setakat ini, program kendalian KDEB Waste Management yang memulakan projek rintis di beberapa PBT sejak April memeterai kerjasama dengan Nestle Malaysia serta Media Selangor dan kini turut melibatkan Klang WasteCare.
Amirudin berkata bermula 1 Oktober, operasi SELKitar telah dilaksana di semua PBT kecuali Sabak Bernam dengan melibatkan penggunaan 21 lori khusus untuk mengutip barangan kitar semula.
“Keseluruhannya sehingga sekarang ada 412,812 rumah atau premis terlibat program ini. Insya-Allah tahun depan kita akan pergiatkan kepada e-sisa melibatkan semua daerah.
“Secara asasnya, SELKitar beri peningkatan kadar kitar semula daripada 12 peratus sudah mencecah 16 peratus dan ini melepasi sasaran RS-1. Ini baharu usaha kecil dan kita akan fikirkan lagi supaya boleh sampai 30 peratus hatta 50 peratus kitar semula di rumah,” katanya.
Pada April, SELKitar dilancar sebagai usaha jangka panjang memajukan amalan ekonomi pusingan menerusi aktiviti kitar semula dengan memfokuskan pengasingan sisa dari sumber dan tanggungjawab bersama pihak berkepentingan.






