ad

Banjir: Situasi di Hulu Selangor terkawal, terus pantau kawasan berisiko

24 Nov 2025, 2:00 PM
Banjir: Situasi di Hulu Selangor terkawal, terus pantau kawasan berisiko

SHAH ALAM, 24 NOV: Keadaan banjir di Hulu Selangor dilaporkan terkawal dengan pemantauan rapi dijalankan di semua titik panas banjir bagi memastikan sistem saliran berada dalam keadaan baik.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Selangor (Khidmat Pengurusan) Muhamad Shaharudin Osmin berkata pihaknya sentiasa membuat pemeriksaan terutama di kawasan berisiko seperti Taman Sri Cahaya, Batang Kali.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Selangor (Khidmat Pengurusan) Muhamad Shaharudin Osmin

“Pejabat Daerah dan Tanah telah menghantar permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara untuk melaksanakan kerja mitigasi segera.

"Antara langkah yang dicadangkan termasuk menaik taraf longkang tepi jalan di Jalan Kuala Lumpur–Tanjung Malim berhampiran Taman Sri Cahaya yang kerap dilanda banjir," katanya.

Muhamad Shaharudin menambah kerja menaikkan aras sistem saliran di Kampung Sentosa, penyelenggaraan saliran dan perparitan di Kampung Rawang Putar, serta kerja berkaitan di Batang Kali turut dimohon.

beliau menegaskan semua pusat Ppemindahan sementara (PPS) berada dalam keadaan siap untuk digunakan.

“Dari segi fasiliti, kami pastikan semuanya berfungsi sempurna termasuk penambahbaikan kecil seperti tandas dan lampu,” katanya.

Latihan kecemasan dan banjir bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung juga dijalankan sebagai langkah kesiapsiagaan komuniti.

“Contohnya, SOP untuk mengosongkan kediaman dan bergerak ke PPS sudah disediakan di peringkat daerah,” jelas beliau.

Beliau menambah, bilik gerakan banjir daerah akan mula beroperasi esok bagi menyelaras tindakan semua agensi.

“Di peringkat agensi, kami sentiasa mengemas kini sebarang situasi. Setakat ini, tiada keperluan membuka PPS,” katanya.

Setakat ini, lebih 1,000 mangsa ditempatkan di 14 PPS di seluruh Selangor akibat bencana banjir yang melanda negeri.