ad

640 penduduk Saujana Aman berjaya dipindahkan, paras air menurun

24 Nov 2025, 10:53 AM
640 penduduk Saujana Aman berjaya dipindahkan, paras air menurun

SHAH ALAM, 24 NOV: Operasi memindahkan kira-kira 640 penduduk Taman Saujana Aman di Sungai Buloh yang terjejas akibat banjir selesai sepenuhnya petang ini.

Pegawai Bomba Kanan II, Kirushnan Muniandy berkata amaran awal pemindahan dikeluarkan sekitar jam 9 pagi apabila paras air sungai menunjukkan peningkatan, sebelum air mula memasuki kawasan perumahan kira-kira sejam kemudian.

"Pada jam 5.45 petang, semua penghuni Saujana Aman berjaya dikeluarkan dan dipindahkan ke satu-satunya Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka setakat ini," katanya.

Operasi evakuasi digerakkan menggunakan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu utiliti dan satu bot fiber dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dengan kekuatan enam anggota.

Misi itu turut dibantu lapan anggota bomba sukarela Saujana Utama bersama dua bot fiber, selain penglibatan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Kirushnan, mangsa yang dipindahkan termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak.

Kesemua mereka berjaya dibawa keluar tanpa sebarang kecederaan.

Beliau berkata paras air di lokasi ketika ini menunjukkan penurunan, namun prosesnya masih perlahan.

“Trend air sedang menurun, tetapi ia tidak turun secara mendadak dan mungkin mengambil masa. Kita pantau semasa dan semasa,” jelasnya.