SHAH ALAM, 24 Nov: Paras air Sungai Langat di Kampung Jambu melepasi tahap bahaya, menyebabkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengaktifkan Bilik Gerakan Skuad Pantas 24 jam sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir.
Penyelaras Skuad Pantas MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman berkata rondaan awal turut dilakukan di beberapa kawasan hotspot banjir termasuk Hulu Langat, Sungai Serai, Batu 14, Batu 18 serta kawasan pekan Kajang seperti Kampung Jambu dan Taman Muhibbah.
"Paras air memang agak membahayakan. Jadi kita telah membuka bilik gerakan selama 24 jam dengan kekuatan 20 anggota," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata bantuan segera akan digerakkan sekiranya banjir berlaku, namun pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hanya boleh dilakukan selepas menerima arahan Pejabat Tanah dan Daerah (PDT).
"Amaran langkah berjaga-jaga sudah kita uar-uarkan di media sosial supaya penduduk berhati-hati dan bersedia dengan segala kemungkinan," katanya.
MPKJ turut memaklumkan semua dewan serbaguna di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) berada dalam keadaan siap digunakan jika diaktifkan sebagai PPS.
Sementara itu di Gombak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memaklumkan PPS berada dalam keadaan siap sedia untuk dibuka pada bila-bila masa.
Semua agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menerima arahan bertulis sejak Oktober untuk melakukan pemeriksaan dan memastikan PPS berfungsi dengan baik.
"Semua PPS berada dalam keadaan baik dan bersedia. Kalau air melimpah dan paras makin tinggi, kita akan dapatkan arahan pengerusi jawatankuasa untuk buka PPS serta-merta," katanya.
Beliau berkata pihaknya menerima banyak panggilan pagi tadi berhubung kenaikan paras air di beberapa hotspot.
"Air dah mula sampai ke paras buku lali di beberapa lokasi dan kami memang pantau rapat bersama penghulu mukim dan ketua kampung.
"Bilik gerakan bencana sudah diaktifkan pagi tadi melibatkan empat hingga lima anggota pada satu-satu masa," katanya.
Katanya lagi, lawatan tapak telah dilakukan minggu lalu untuk mengenal pasti punca banjir termasuk parit tersumbat dan longgokan sampah.
"Kita dah minta agensi bersihkan parit, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dah korek sungai, KDEB Waste Management (KDEBWM) dah bersihkan kawasan yang dipenuhi sampah.
"Kita akan adakan juga gotong-royong besar-besaran bersama penduduk dalam masa terdekat melibatkan kawasan kampung," katanya.





