ad

Paras air naik, beberapa jalan utama di Shah Alam ditutup

24 Nov 2025, 6:21 AM
Paras air naik, beberapa jalan utama di Shah Alam ditutup
Paras air naik, beberapa jalan utama di Shah Alam ditutup

SHAH ALAM: Beberapa laluan utama di sekitar bandar raya ini ditutup sepenuhnya selepas paras air meningkat susulan hujan lebat, menyebabkan jalan tidak selamat untuk dilalui.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menutup laluan terbabit bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Jalan berkenaan adalah di Jalan Seksyen 19; Seksyen 24 menghala ke Seksyen 23; Persiaran Jubli Perak dan Persiaran Perusahaan.

“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan menggunakan laluan alternatif bagi keselamatan,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Terdahulu, MBSA turut memaklumkan beberapa kawasan di Shah Alam turut dinaiki air, antaranya Taman Desa Kemuning di Seksyen 35; Kampung Budiman (Seksyen U14); Kampung Kubu Gajah (Seksyen U17); Giant Seksyen 13; Taman Sri Lembayung (Seksyen 25); Jalan Opera (Seksyen U2); Persiaran Jubli Perak (Seksyen 19); Jalan Mat Raji di Padang Jawa (Seksyen 16); Jalan Mantap 25/126; Jalan Sentosa 25/129; serta Persiaran Budiman di Seksyen 25 dan Persiaran Perusahaan, Seksyen 23.

Selain Shah Alam, beberapa kawasan di Klang turut terkesan, termasuk Kampung Delek, Kapar dan Meru yang mengalami kenaikan paras air berikutan hujan lebat.

Setakat ini, lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di empat daerah bagi menempatkan 110 mangsa daripada 30 keluarga.

PPS berkenaan adalah Dewan Sri Sekinchan dan Dewan Sri Bernam (Sabak Bernam); Pusat Perkhidmatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jaya Setia (Bestari Jaya); Sekolah Kebangsaan Sungai Serai (Hulu Langat); serta yang terbaharu, Masjid Al-Falah Kampung Budiman (Shah Alam).