SHAH ALAM, 24 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) belum menerima sebarang kes melibatkan penahanan atau pendakwaan berkaitan tindakan mengkafirkan sesama umat Islam atau takfiri, kata EXCO Agama Islam.
Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pemulihan akidah dijalankan Mais ketika ini melibatkan kesalahan seperti penyebaran ajaran sesat, perbuatan menghina Nabi dan permohonan pengisytiharan bukan Islam.
“Peruntukan yang terpakai berkaitan dengan ajaran atau perbuatan Takfiri di Negeri Selangor adalah diperuntukkan di bawah Seksyen 6 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) No 9, 1995.
“Bagi kesalahan yang menjurus kepada subseksyen 6(1) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berhubung takfir, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hanya menerima satu laporan atau maklumat sahaja iaitu pada 30 Oktober lalu dan masih di peringkat siasatan Jais,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wakil rakyat Sabak, Sallehan Mukhyi pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Mohammad Fahmi turut memaklumkan beberapa ajaran sesat yang difatwakan sebelum ini mengandungi unsur takfiri, antaranya Ajaran Islam Jamaah, Ajaran Negara Islam Indonesia dan Ajaran Hizbut Tahrir.
Menurut beliau, tindakan khas penguatkuasaan terhadap kumpulan ajaran sesat turut dilaksanakan hampir setiap tahun sejak 2015, dengan operasi terakhir dijalankan pada 2019.
“Individu yang telah ditangkap telah dituduh dan disabit kesalahan serta dijatuhi hukuman denda dan penjara oleh mahkamah syariah,” katanya.




