SHAH ALAM, 24 NOV: Kerja menaik taraf Taman Rakyat Madani (TRM) di Bandar Melawati kini mencapai kemajuan 80 peratus, maklum EXCO kerajaan tempatan.
Dato’ Ng Suee Lim berkata projek berkenaan mula dilaksanakan 11 Ogos lalu oleh kontraktor yang dilantik dan dijadual siap 1 Disember ini.
“Setakat ini, pelaksanaan berjalan lancar dan kawasan itu dijangka boleh dibuka kepada orang awam mulai Januari 2026.
“Namun, bagi memastikan semua komponen kerja disiapkan dengan sempurna dan mengikut spesifikasi, kita telah meluluskan lanjutan masa (EOT) sehingga 31 Januari 2026,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Jeram Dato’ Harrison Hassan yang ingin mengetahui status projek naik taraf Taman Awam Bandar Melawati menjadi TRM yang mana Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah diperuntukkan RM1 juta untuk kerja infrastruktur.
Kerajaan Selangor menyasarkan sekurang-kurangnya lima TRM di negeri itu dapat disiapkan menjelang akhir tahun ini sebagai usaha menyediakan ruang rekreasi komuniti yang lebih moden dan inklusif.
Suee Lim berkata, proses pembangunan sedang dijalankan secara berperingkat oleh PBT di beberapa lokasi dikenal pasti antaranya Sepang dan Kuala Langat.




