SHAH ALAM, 24 NOV: Kerjasama antara agensi kerajaan dan industri mampu meningkatkan keberkesanan sistem penilaian permainan sukan elektronik atau e-sukan di Malaysia, sekali gus memudahkan pemantauan oleh ibu bapa dan guru terhadap kandungan digital.
Menurut Pakar Psikiatri MSU Medical Centre, Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi sistem itu boleh mengadaptasi model antarabangsa seperti Entertainment Software Rating Board (ESRB) di Amerika Syarikat dan Pan European Game Information (PEGI) di Eropah, namun perlu disesuaikan dengan nilai budaya serta undang-undang tempatan.
"Kita perlu ada pemantauan dan sokongan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai pendorong utama, serta input Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan kandungan permainan selamat dan sesuai untuk kanak-kanak," katanya.
Bagi Mantan Pengerusi PIBG SIRAJ AIM Anas Mohamad, 38, sokongan industri e-sukan sangat penting untuk menyediakan permainan lebih telus, selamat dan mesra kanak-kanak.
Beliau menekankan penggunaan aplikasi penapisan oleh ibu bapa dan garis panduan kerajaan yang tepat tanpa bersifat terlalu melampau.
"Industri perlu tahu cara menarik minat pemain dengan permainan yang telah ditapis, serta hadkan kandungan berisiko supaya kesan buruk kepada kanak-kanak dapat dielakkan," katanya.
Sementara itu, Pengulas MPL Malaysia Syed Adeen Jamal, 29, menegaskan penglibatan organisasi permainan digital dan e-sukan amat penting untuk keberkesanan sistem penilaian
"Jika gunakan pengalaman dan pengetahuan mereka, kita boleh wujudkan sistem ini dengan lebih canggih dan efektif," katanya.
Tragedi menyayat hati membabitkan pelajar perempuan tingkatan tiga yang maut ditikam pelajar lelaki tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, mencetuskan kebimbangan berhubung pengaruh permainan video terhadap pelajar.
Insiden yang berlaku di kawasan tandas perempuan itu tular selepas tindakan suspek yang kelihatan bersahaja serta penemuan nota bertulis ‘Zero Day’ dan NPC (Non Playable Character) didakwa berkait dengan budaya permainan video dan kandungan digital tertentu.







