ad

Sistem penilaian e-sukan disaran jadi benteng cegah gangguan kandungan digital

24 Nov 2025, 2:01 AM
Sistem penilaian e-sukan disaran jadi benteng cegah gangguan kandungan digital
Sistem penilaian e-sukan disaran jadi benteng cegah gangguan kandungan digital
Sistem penilaian e-sukan disaran jadi benteng cegah gangguan kandungan digital
Sistem penilaian e-sukan disaran jadi benteng cegah gangguan kandungan digital

SHAH ALAM, 24 NOV: Sistem penilaian permainan sukan elektronik atau e-sukan dilihat mampu menjadi benteng utama dalam memastikan keselamatan digital kanak-kanak di Malaysia.

Pakar Psikiatri MSU Medical Centre Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi menegaskan sistem penilaian merupakan mekanisme kawalan penting yang wajar diperkenalkan bagi memantau tahap kesesuaian kandungan permainan dari segi keganasan, interaksi dalam talian serta risiko gangguan seksual.

"Penilaian ini boleh dijadikan faktor kawalan yang membantu ibu bapa dan guru menilai tahap kesesuaian kandungan permainan. Kita boleh menyesuaikan model yang digunakan di luar negara, tetapi ia perlu ikut budaya dan undang-undang tempatan," katanya.

Pakar Psikiatri MSU Medical Centre, Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi

Beliau turut menekankan pihak sekolah boleh menyediakan modul penerangan mengenai sistem penilaian itu bagi memberi pemahaman kepada pelajar tentang risiko kandungan digital.

Dr Muhammad Najib menekankan walaupun sistem itu diperkenalkan, pemantauan berterusan tetap diperlukan.

"Kita kena beri pengetahuan yang jelas kepada ibu bapa dan penguatkuasaan supaya ada sistem kawalan ibu bapa termasuk permainan yang ganas," ujarnya.

Sementara itu, pengulas MPL Malaysia Syed Adeen Jamal, 29, pula berkata sistem penilaian perlu terperinci dan disertakan ringkasan permainan yang mudah difahami sebelum dimuat turun.

"Gunakan bahasa mudah supaya semua pihak faham. Walaupun saya sudah lama berkecimpung dalam e-sukan (sebagai pemain dan pengulas) tapi masih ada ringkasan permainan yang saya sendiri tidak faham.

Pengulas MPL Malaysia Syed Adeen Jamal

"Kerajaan juga perlu tubuhkan badan rasmi untuk menapis kandungan terlebih dahulu agar ia tepat dan menyeluruh. Contohnya dari aspek keganasan, seksual, perjudian serta akses kepada umum," katanya.

Beliau menambah input daripada ibu bapa juga penting bagi memahami cabaran sebenar pengawasan anak-anak. Dengan sistem yang disusun secara tepat, ibu bapa dapat membuat keputusan lebih bijak untuk melindungi anak-anak daripada pendedahan kandungan yang tidak sesuai.

14 Oktober lalu, negara dikejutkan dengan tragedi pelajar perempuan tingkatan tiga maut ditikam pelajar lelaki tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama jam 9.10 pagi.

Insiden di kawasan tandas pelajar perempuan itu mencetuskan perbincangan hangat di media sosial, terutama selepas tindakan suspek yang kelihatan bersahaja serta penemuan nota bertulis ‘Zero Day’ dan ‘NPC (Non Playable Character)’ yang dikaitkan dengan budaya permainan video dan kandungan digital tertentu.

Susulan kejadian, polis tidak menolak kemungkinan pengaruh permainan video serta kandungan media sosial menjadi antara faktor yang mendorong tindakan remaja berkenaan.

Suasana sebuah sekolah menengah selepas kejadian pelajar perempuan Tingkatan Tiga maut ditikam pada 15 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR