ad

Polis Pulau Pinang bongkar makmal proses dadah, ahli kimia antara ditahan

23 Nov 2025, 1:43 PM
Polis Pulau Pinang bongkar makmal proses dadah, ahli kimia antara ditahan

SHAH ALAM, 23 NOV: Polis Pulau Pinang membongkar sebuah makmal memproses heroin selepas menahan dua lelaki termasuk seorang ahli kimia dalam dua serbuan berasingan di Seberang Perai Tengah dan Kulim, Kedah.

Ketua Polis Negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bermula pukul 4 petang kelmarin hingga 5 pagi semalam.

“Serbuan pertama di sebuah rumah di Bukit Mertajam membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ahli kimia.

“Pemeriksaan menemui pelbagai jenis serbuk dan ketulan disyaki heroin seberat lebih 5 kilogram, 20 kilogram serbuk kafein serta bahan kimia dan peralatan memproses dadah,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, soal siasat suspek kemudian membawa kepada serbuan kedua di Kulim, Kedah, yang menyaksikan seorang lelaki berperanan sebagai ‘runner’ ditahan.

“Polis turut merampas 250 gram dadah disyaki methamphetamine yang ditemui dalam motosikal suspek. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM120,600,” ujarnya.

Azizee berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Ogos lalu, manakala ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah serta mempunyai rekod lampau.

Kedua-dua mereka direman tujuh hari sehingga 28 November bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.