PETALING JAYA, 23 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sedia mematuhi garis panduan baharu berkaitan kediaman sewa jangka pendek yang dijangka dikuatkuasakan mulai Januari 2026.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata pihaknya juga sedia mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat sekiranya terdapat permintaan daripada wakil pengusaha bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.
“Kita mengkaji kesesuaian tempat itu. Apabila ditetapkan itu, kita akan ikut. Tetapi kalau ada permintaan di lapangan, kita akan cuba bincang semula,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Ekonomi Lestari di Car Boot Sale (CBS) Kota Damansara di sini, yang diserikan dengan keberangkatan Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Kerajaan Selangor sebelum ini mengumumkan bakal mengenakan syarat penginapan maksimum 180 malam atau enam bulan setahun kepada unit kediaman sewa jangka pendek seperti AirBnb bermula Januari tahun depan.
EXCO Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim dilapor berkata, penetapan akan diputuskan selepas Kerajaan Negeri meneliti garis panduan kediaman sewa jangka masa pendek yang dijangka dikeluarkan oleh Putrajaya bulan depan.
Jelasnya, pelaksanaan tersebut sebagai langkah mengawal operasi AirBnb berikutan rungutan daripada pengusaha hotel yang mendakwa wujud persaingan tidak sihat selain pengusahanya tidak terikat sebarang mekanisme atau undang-undang.
Dewan Rakyat sebelum ini diberitahu draf garis panduan penginapan sewaan jangka pendek akan dibentang untuk kelulusan Jemaah Menteri sebelum dibawa ke Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) untuk dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.




