ad

Program risiko bencana perkasa penduduk, depani ancaman iklim

23 Nov 2025, 7:53 AM
Program risiko bencana perkasa penduduk, depani ancaman iklim
Program risiko bencana perkasa penduduk, depani ancaman iklim
Program risiko bencana perkasa penduduk, depani ancaman iklim

SHAH ALAM, 23 NOV: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menganjurkan Program Risiko Bencana Berasaskan Komuniti, dengan penekanan terhadap kesiapsiagaan, pendidikan dan ketahanan masyarakat terhadap bencana alam.

Program yang berlangsung di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu itu menghimpunkan pelbagai pihak termasuk jabatan kerajaan, agensi bencana, Persatuan Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadim) serta jawatankuasa penduduk bagi meningkatkan keupayaan komuniti mengurus risiko bencana.

Yang Dipertua MPHS, Julaihah Jamaludin berkata semua pengerusi persatuan penduduk dan pertubuhan masyarakat perlu menjadi rakan strategik dalam memperkukuh pemantauan risiko bencana di kawasan masing-masing.

“Setiap individu perlu menjadi mata dan telinga kepada MPHS dalam mengenalpasti tanda awal sesuatu bahaya,” ujar beliau ketika merasmikan program tersebut.

Menurut Julaihah, inisiatif ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11 iaitu mewujudkan bandar dan komuniti mampan, dengan sasaran mengurangkan impak bencana terhadap nyawa, ekonomi dan infrastruktur.

Katanya lagi, program ini juga memenuhi matlamat SDG 13 iaitu Tindakan Memerangi Perubahan Iklim melalui peningkatan kesedaran dan pendidikan mengenai adaptasi terhadap perubahan iklim serta daya tahan terhadap risiko iklim.

Program ini memberi peluang kepada komuniti untuk memahami langkah persediaan awal, teknik tindak balas pantas dan peranan mereka dalam mengurangkan risiko serta impak bencana di kawasan masing-masing.

Julaihah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk NADIM dan pelbagai agensi kerajaan serta komuniti setempat.

Beliau menegaskan MPHS komited menjadi peneraju kepada pendekatan komuniti berdaya tahan dalam menghadapi cabaran bencana yang semakin kompleks akibat perubahan iklim.