SHAH ALAM, 23 NOV: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas 162 kenderaan milik tiga institut memandu dalam operasi yang bertujuan memastikan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang dipatuhi.
Pemeriksaan itu turut melibatkan semakan ke atas tenaga pengajar bagi memastikan mereka memiliki Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) yang sah untuk memberi tunjuk ajar kepada calon.
“Tenaga pengajar institut memandu juga telah dibuat pemeriksaan bagi memastikan mereka pemegang sijil pengajar (SPIM) yang sah untuk mengajar calon belajar memandu,” menurut JPJ dalam kenyataan menerusi Facebook.
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan latihan, 22 notis dikeluarkan kepada institut memandu melibatkan pelbagai kesalahan teknikal dan pelanggaran peraturan operasi.
JPJ menegaskan pemeriksaan sebegini penting bagi memastikan semua kenderaan digunakan dalam keadaan baik, selamat dan memenuhi syarat bagi tujuan pembelajaran dan ujian pemanduan.
JPJ turut mengingatkan semua institut memandu agar memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelajar dan sentiasa mematuhi undang-undang agar dapat melahirkan pemandu berhemah di jalan raya.
“Pematuhan undang-undang dan penyelenggaraan kenderaan latihan amat penting dalam menjamin keselamatan semua pihak yang terlibat dalam proses pembelajaran memandu,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam perkembangan lain, JPJ memaklumkan seramai lebih 15,000 peserta telah berjaya memperoleh lesen motosikal B2 secara percuma di bawah Program MyLesen.
Program ini melibatkan peruntukan RM5.2 juta yang ditanggung sepenuhnya kerajaan bagi membantu golongan B40 mendapatkan lesen motosikal dan mengurangkan beban kewangan mereka.
Program MyLesen antara inisiatif penting kerajaan dalam meningkatkan kadar pemilikan lesen sah, khususnya dalam kalangan golongan muda serta pekerja sektor informal.






