ad

ADN: Tanah sempadan Bukit Wawasan bukan kawasan hutan simpan

23 Nov 2025, 2:46 AM
ADN: Tanah sempadan Bukit Wawasan bukan kawasan hutan simpan
ADN: Tanah sempadan Bukit Wawasan bukan kawasan hutan simpan

PUCHONG, 23 NOV: Tanah yang terletak bersebelahan Hutan Simpan Ayer Hitam (Bukit Wawasan) bukan sebahagian daripada kawasan hutan simpan, sama ada di bawah kawal selia Jabatan Perhutanan mahupun Universiti Putra Malaysia (UPM).

Perkara itu ditegaskan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berhubung pelaksanaan Kajian Impak Sosial (SIA) oleh pemilik tanah di lot berkenaan yang mencetuskan keresahan penduduk sekitar Taman Wawasan, Bandar Puteri, Bandar Kinrara dan Bandar Puchong Jaya.

“Plot yang dinyatakan ini tidak termasuk dan bukanlah sebahagian daripada kawasan hutan simpan, sama ada yang dikawalselia oleh Jabatan Perhutanan ataupun oleh pihak Universiti Putra Malaysia dikenali sebagai Sultan Idris Shah Forestry Education Centre (SISFEC) yang berkeluasan 1,176 hektar,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiada sebarang permohonan pembangunan dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) ketika ini.

“Pihak MBSJ juga sehingga kini tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak bagi tujuan apa-apa pembangunan di plot berkenaan. Proses SIA yang berjalan adalah sebagai pra-syarat untuk pemilik tanah membuat permohonan kepada pihak MBSJ,” jelas beliau.

Ng turut menyentuh pelaksanaan sesi Focused Group Discussion (FGD) secara atas talian yang dijalankan minggu lalu sebagai tidak sesuai untuk proses penilaian rasmi.

“Saya ambil maklum proses sesi Focused Group Discussion yang dijalankan secara atas talian pada minggu yang lalu, dan telah memaklumkan pihak MBSJ bahawa ianya tidak boleh dijadikan sebahagian daripada proses SIA. Sesi FGD secara fizikal supaya sesi soal jawab berjalan dengan jelas dan telus, melibatkan semua penduduk yang terkesan termasuk kumpulan pendaki yang menggunakan laluan Hutan Bukit Wawasan untuk aktiviti rekreasi,” katanya.

Jelas beliau, sesi fizikal penting bagi menjamin ketelusan perbincangan serta penyertaan pihak berkepentingan termasuk pengguna laluan rekreasi Bukit Wawasan.

Ng turut menggalakkan penglibatan aktif daripada masyarakat setempat dalam menyampaikan pandangan terhadap cadangan pemilik tanah.

“Semasa sesi FGD, saya menggalakkan penduduk untuk mengutarakan bantahan, kebimbangan dan cadangan kepada pihak pemilik tanah atau perunding. Proses ini akan direkodkan secara rasmi di dalam laporan SIA,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyatakan sokongan terhadap sebarang usaha bantahan secara aman oleh penduduk.

“Saya mengambil maklum sesi bantahan yang akan dianjurkan di Taman Wawasan pada minggu ini dan berharap supaya ia berjalan dengan lancar dan teratur,” tambahnya.