SHAH ALAM, 21 NOV: Tindakan merobohkan kilang haram di Sungai Buloh baru-baru ini dilakukan selepas penilaian keselamatan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) mendapati struktur binaan berkenaan terlalu hampir dengan perimeter Kem Tentera Sungai Buloh.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim, berkata jarak yang terlalu dekat itu menimbulkan risiko terhadap akses keluar masuk serta boleh menjejaskan integriti infrastruktur kem berkenaan.
“Berdasarkan penilaian terkini CGSO, binaan haram itu berada terlalu hampir dengan kawasan pagar kem sehingga menimbulkan ancaman terhadap laluan masuk dan kemungkinan merosakkan pagar perimeter.
“Pejabat berkenaan mencadangkan supaya struktur itu dirobohkan bagi memastikan keselamatan kawasan sekitar,” katanya ketika penggulungan Belanjawan Selangor 2026 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Ng memaklumkan kerja perobohan hanya membabitkan dua kilang yang pemiliknya gagal disahkan serta tidak boleh diperakukan, manakala struktur lain yang mempunyai hak milik sejak 2002 tidak terlibat.
Minggu lalu, pihak berkuasa merobohkan kira-kira 40 kilang haram dan sebuah rumah tanpa kebenaran yang didirikan di atas tanah kerajaan dalam zon penampan Kem Sungai Buloh selama hampir dua dekad.
Beliau menegaskan semua prosedur, termasuk pemeriksaan tapak dan penilaian antara agensi, dilaksana secara teliti serta mematuhi peraturan.
Tanah yang telah dikosongkan itu akan dikekalkan sebagai zon penampan bagi mengelakkan pencerobohan pada masa hadapan, selain pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa negeri.
Tindakan tersebut juga selaras dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri menyusun semula kelulusan pembangunan dan mengawal selia kawasan perindustrian.
Sebelum ini, Ng memaklumkan Kerajaan Negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus kilang tidak berlesen disahkan menjelang 2027 sebagai langkah memastikan sektor perindustrian beroperasi secara sah, teratur dan selamat.




