LRA Sungai Rasau siap 46 peratus, lepasi sasaran asal

21 Nov 2025, 7:03 AM
LRA Sungai Rasau siap 46 peratus, lepasi sasaran asal

SHAH ALAM, 21 NOV: Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau Peringkat 1 mencatat kemajuan 46.42 peratus setakat September lalu, sekali gus melepasi sasaran asal projek tersebut.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata perkembangan itu menunjukkan kerja-kerja pembinaan berada pada landasan tepat dan mengikuti jadual yang ditetapkan.

“Kemajuan pembinaan projek ini akan disiapkan secara berperingkat berdasarkan lanjutan masa iaitu kapasiti 350 juta liter sehari (JLH) pada 31 Disember 2026.

“Bagi persiapan keseluruhan pula dengan kapasiti 700 JLH, dijangka siap pada 30 Jun 2027,” katanya menjawab soalan wakil rakyat Pandamaran, Leong Tuck Chee mengenai perkembangan projek berkenaan pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

LRA Sungai Rasau bakal menjadi loji rawatan air terbesar dan paling moden di Asia Tenggara, dengan kemampuan menghasilkan 1,400 JLH apabila siap sepenuhnya.

LRA tersebut merupakan komponen utama projek Skim Bekalan Air Rasau yang melibatkan pembangunan sembilan bekas kolam perlombongan bijih timah seluas 489 hektar.

Skim itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030 dan turut berfungsi sebagai Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dwifungsi pertama di Malaysia, yang menyokong pembekalan air serta bertindak sebagai sistem tebatan banjir.