SHAH ALAM, 21 NOV: Laporan penilaian psikiatri remaja lelaki berusia 14 tahun yang didakwa membunuh rakan sekolahnya di Bandar Utama bulan lalu, dijangka selesai bulan depan.
Peguam Kitson Foong yang mewakili remaja lelaki itu berkata pihak Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan memaklumkan mereka memerlukan tempoh tambahan sebulan bagi menyiapkan laporan tersebut.
“Mengikut Seksyen 342(4) Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah mempunyai ruang untuk melanjutkan tempoh itu selama sebulan.
"Jadi, tarikh 19 Disember ini ditetapkan untuk sebutan lanjut dengan harapan laporan itu akan siap dan sedia,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian selepas prosiding sebutan kes yang dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal, memandangkan tertuduh adalah pesalah juvana.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman.
Menurut Kitson, laporan psikiatri itu penting bagi menentukan kecergasan mental anak guamnya untuk membuat pengakuan atau dibicarakan.
“Penilaian ini juga penting kerana keadaan mental penama (tertuduh) perlu diambil kira semasa dia didakwa melakukan kesalahan itu.
"Semua hak-hak penama adalah penting. Ini (proses mendapatkan laporan penilaian psikiatri) bukan untuk melengahkan masa.
“Kewarasan dan kesediaan seorang pesakit juga perlu diambil kira sebelum dia boleh dijadualkan untuk prosiding,” jelasnya.
Turut hadir pada prosiding ialah peguam pemerhati, Nur Izni Syazwani Ahmad, yang mewakili keluarga mangsa.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pada 22 Oktober lalu, mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya tertuduh menjalani penilaian psikiatri di HBUK mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Sebelum ini, polis melaporkan mangsa maut selepas ditikam di tandas perempuan, dan dua senjata tajam turut ditemui di lokasi kejadian.
Dalam satu sidang media, ibu mangsa mendakwa anaknya ditikam lebih 200 kali, menjadikan kes itu antara yang paling tragis dan mengejutkan di negara ini.


