SHAH ALAM, 20 NOV: Lima pelajar yang didakwa terbabit dalam kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengadu mengalami tekanan emosi kerana diejek pelajar lain, yang mengatakan mereka menjadi punca kepada kejadian yang menimpa Zara.
Guru kaunseling dan warden asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Miswati Lundu memberitahu Mahkamah Khas Koroner hari ini, ia berdasarkan sesi kaunseling yang dijalankan terhadap lima pelajar berkenaan pada sebelah pagi dan malam, 17 Julai lalu, lapor Berita Harian.
Pasukan peguam kepada ibu Zara, Noraidah Lamat, dalam kenyataan, memaklumkan saksi ke-48 itu, berkata sesi pada sebelah pagi adalah bertujuan meluahkan perasaan dan memberi sokongan emosi kepada pelajar berkenaan, manakala sesi sebelah malam adalah susulan laporan yang dibuat pelajar.
Saksi yang dipanggil semula pada hari ke-40 prosiding, hari ini, berkata ejekan berkenaan "boleh jadi" dikategorikan sebagai buli lisan.
Saksi berkata, dalam sesi kaunseling, pelajar senior memberitahu saksi, mereka seolah-olah merasakan menjadi punca kepada kejadian kenapa Zara dijumpai di bawah blok asrama, namun saksi menyatakan ia bukan pengakuan rasmi.
Ketika sesi kaunseling dibuat, terdapat seorang pelajar yang menunjukkan reaksi emosi sedih, menangis dan menyatakan rasa bersalah yang mendalam, dan menurut saksi, beliau melihat dan merekod sendiri semua pelajar bersedih, menangis dan meluahkan perasaan mereka.
Saksi turut berpandangan, beliau tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan pelajar itu pada malam kejadian sebelum Zara dijumpai di aras bawah asrama.
Selain Miswati, seorang lagi saksi yang dipanggil memberi keterangan hari ini ialah Yuslina Badrum, yang juga saksi ke-49.
Ibu Allahyarham diwakili peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Ibu Allahyarham diwakili peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Prosiding bersambung esok.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sehari sebelumnya dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi.
Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan satu inkues akan dijalankan bagi menyiasat punca kematian pelajar itu selepas meneliti laporan siasatan polis.
Sebelum itu, pada 8 Ogos, AGC mengarahkan kubur Zara digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.


