SHAH ALAM, 20 NOV: Pelaksanaan sistem Parkir Pintar Selangor atau Selangor Intelligent Parking (SIP) bagi kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) masih tertangguh.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu belum memuktamadkan persetujuan terma dan syarat perjanjian tiga pihak bersama Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) dan Selmax Sdn Bhd.
Menurutnya, keputusan untuk memperkenalkan SIP adalah kesinambungan kepada pendekatan pengurusan parkir secara konsesi yang dilaksanakan sejak 1996, namun dengan penambahbaikan melalui teknologi moden dan sistem bersepadu.
"Sehingga Oktober 2025, tiga PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah bersetuju dengan perjanjian tersebut, menjadikan pelaksanaan SIP di kawasan masing-masing dapat diteruskan mengikut jadual.
"Bagaimanapun, ketidaksediaan MBPJ untuk memuktamadkan dokumen perundangan itu menyebabkan pelaksanaan SIP di Petaling Jaya tertangguh berbanding tiga PBT lain," katanya ketika menggulung perbahasan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Tambahnya, pelaksanaan SIP secara berfasa bertujuan memastikan peralihan teratur, pemantauan rapi serta peningkatan sistematik sebelum diperluas ke semua PBT di Selangor.
Dalam pada itu, Suee Lim berkata sekiranya MBPJ bersetuju dengan pelaksanaan SIP, unjuran hasil menunjukkan potensi kutipan bersih yang boleh diterima PBT tersebut adalah sekitar RM9 juta setahun.
“Dengan penggunaan teknologi, pemantauan digital serta sistem penguatkuasaan yang lebih berkesan, PBT berpotensi meningkatkan hasil parkir secara signifikan.
“Malah, selepas pemasangan CCTV siap sepenuhnya, kutipan hasil dijangka meningkat selepas tahun kedua selaras dengan pemantauan automatik dan penguatkuasaan yang lebih konsisten,” katanya.


