SHAH ALAM, 20 NOV: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan tindakan tatatertib terhadap 27 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kuala Lumpur dan Selangor susulan siasatan pemeriksaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di pusat hiburan Mansion 9, Kuala Lumpur pada 26 April tahun lalu.
EAIC menerusi kenyataan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).
Hasil siasatan mendapati berlaku ketidakpatuhan serius terhadap peraturan dan arahan Imigresen, termasuk pelanggaran Surat Larangan Berada Di Kawasan Berisiko Tinggi bertarikh 18 November 2019, yang melarang pegawai berada di pusat hiburan, rumah urut atau premis perjudian.
Beberapa anggota juga didapati melanggar jadual penugasan rasmi pada hari kejadian dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tatatertib Imigresen.
Berdasarkan dapatan itu, pegawai berkenaan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan di bawah Peraturan 38 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, melibatkan kesalahan seperti cuai, tidak bertanggungjawab, tidak jujur atau tidak amanah.
Hasil siasatan juga dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JIM bagi pertimbangan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang ingkar perintah mengikut Peraturan 4(2)(i) peraturan sama.
“Selain itu, EAIC mengesyorkan pegawai dan anggota yang berkhidmat lebih lima tahun di lokasi sama ditukarkan, penyelarasan dan pemantauan lebih ketat terhadap jadual penugasan serta rekod kehadiran.
“Pegawai juga diarah memastikan pembayaran penuh bagi perkhidmatan diterima di pusat hiburan untuk mengelak sebarang tohmahan rasuah,” katanya.
EAIC menegaskan bahawa syor tindakan dan pembaharuan ini penting untuk mengukuhkan integriti perkhidmatan awam serta memastikan keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan terus terpelihara.


