ad

Selangor hasrat perkenal proses sembelihan automasi, pastikan status halal ayam terjamin

20 Nov 2025, 6:59 AM
Selangor hasrat perkenal proses sembelihan automasi, pastikan status halal ayam terjamin
Selangor hasrat perkenal proses sembelihan automasi, pastikan status halal ayam terjamin
Selangor hasrat perkenal proses sembelihan automasi, pastikan status halal ayam terjamin

SHAH ALAM, 20 NOV: Selangor bakal memperkenalkan proses sembelihan menggunakan teknologi automasi terkini bagi memastikan pelaksanaan dilakukan secara sah dan menjamin status halal daging ayam.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata pelaksanaan itu akan diteroka oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dengan kerjasama pemain industri ayam segar tempatan.

EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berucap sempena Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 20 November 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Saya pernah berjumpa dengan beberapa individu yang tidak makan ayam kerana khuatir ia tidak disembelih dengan betul.

”Jadi, bagi menjamin sumber daging ayam segar halal, Mais akan bekerjasama dengan pemain industri.

“Dengan langkah ini, kita berharap dapat melegakan kebimbangan umat Islam tentang status halal daging ayam,” katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Selain itu, Dr Fahmi, yang juga EXCO Pembudayaan Inovasi, memaklumkan Kerajaan Negeri akan menubuhkan Halal Hab kedua, gudang penyimpanan dan penghasilan ramuan asas bagi menyokong pembuatan makanan halal di Asia Tenggara.

“His Toyyiba Sdn Bhd dan Invest Selangor sedang mengenal pasti syarikat yang berminat menyertai penubuhan Halal Hab ini.

”Ia akan menjamin stok bahan asas selain mengawal kenaikan harga akibat gangguan rantaian bekalan,” katanya.

Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan kaedah semakan digital tahun hadapan dengan mengumpulkan 562,000 data ramuan halal.

“Kita akan mula memperkenalkan protokol sertu (penyucian) yang telah wujud dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam, di gudang dan rantaian logistik untuk penyimpanan dan pengantara produk halal.

“Protokol ini akan diperkenalkan kepada hab perkapalan dan logistik antarabangsa dengan jaringan import dan eksport di Selangor.

”Ini memastikan status halal bukan sahaja makanan tetapi juga aspek gudang dapat dijamin,” katanya.