SHAH ALAM, 20 NOV: Kementerian Pendidikan (KPM) terus memperkukuh usaha memastikan murid di kawasan pedalaman, termasuk komuniti Orang Asli menerima akses pendidikan berkualiti melalui pelaksanaan program Sekolah Terapung.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata inisiatif itu beroperasi menggunakan rumah rakit atau houseboat sebagai ruang pembelajaran mudah alih di beberapa lokasi terpencil di Perak, Kelantan dan Sabah.
Beliau memaklumkan program tersebut yang mula dilaksanakan pada 13 Oktober lalu, kini melibatkan 246 murid.
“Program Sekolah Terapung Tasik Banding diperkenalkan sebagai inisiatif inovatif di bawah program khas pendidikan manusiawi Pro Khas bagi murid yang menghadapi cabaran jarak, demografi, rintangan pengangkutan dan ketiadaan kemudahan asas untuk sekolah.
“Semua ini berpaksikan kepada Rukun Madani iaitu prinsip ihsan dan daya cipta,” katanya di Dewan Rakyat menjawab soalan S Kesavan (PH–Sungai Siput) mengenai perkembangan Sekolah Terapung di Hulu Perak dan perancangan untuk memperluaskannya.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif itu turut diperkukuh dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak dan beberapa agensi berkaitan, termasuk penyediaan latihan khas kepada guru.
Jelasnya, KPM komited memastikan tiada murid pedalaman tercicir, selain menjamin semua kanak-kanak mendapat pendidikan relevan dan berkesan selaras dengan aspirasi Pendidikan Madani.




