ad

Harga rokok keluaran BAT naik mulai esok

20 Nov 2025, 3:40 AM
Harga rokok keluaran BAT naik mulai esok

SHAH ALAM, 20 NOV: British American Tobacco (Malaysia) Bhd (BAT Malaysia) mengumumkan harga baharu bagi semua jenama rokok komersial keluarannya yang akan berkuat kuasa esok.

Menurut syarikat itu, pelarasan tersebut dibuat susulan kenaikan kadar duti eksais rokok yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2026.

Senarai harga runcit baharu itu juga telah menerima kelulusan rasmi daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Senarai harga baharu bagi jenama-jenama utama di bawah BAT Malaysia adalah seperti Benson & Hedges (RM18.40); Dunhill (RM18.20); Peter Stuyvesant (RM16.70); KYO RM14.00; Rothmans (RM12.90) dan Luckies (RM12.40).

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata kerajaan mengambil langkah yang wajar dengan menaikkan duti eksais secara sederhana, memandangkan kali terakhir pelarasan dibuat adalah 10 tahun lalu selain mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

“Kami mengambil maklum bahawa kenaikan ketara harga rokok telah menyumbang kepada peningkatan pasaran gelap tembakau, yang kini merangkumi 54 peratus daripada jumlah penggunaan rokok di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memuji usaha agensi penguat kuasa yang berjaya menangani pasaran gelap sepanjang 2025, dengan langkah tersebut turut menjimatkan RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nedal berkata peruntukan terbaharu kerajaan berjumlah RM700 juta bagi memperkasa penguatkuasaan adalah perkembangan positif yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani isu lama tersebut.

“Kami menyokong sepenuhnya inisiatif dan tindakan penguatkuasaan berterusan kerajaan untuk menangani isu yang telah lama berlarutan itu,” katanya.