KAJANG, 20 NOV: Tandas Awam Stadium Kajang diiktiraf antara tiga terbaik negara apabila memenangi Anugerah Tandas Terbaik 2025 (Toilet of The Year Award, TOTYA’25) kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), semalam.
Anugerah berprestij itu disampaikan dalam majlis anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Hotel The Westin, Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Tandas Sedunia 2025.
Majlis disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, turut disaksikan barisan kepimpinan tertinggi KPKT termasuk Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Fadzli Mohd Kenali.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Mohd Fareez Mohd Ariss @ Mohd Hatta hadir menerima anugerah berkenaan bersama delegasi pegawai serta kakitangan MPKj.
Menurut MPKj, pengiktirafan itu hasil komitmen berterusan dalam memastikan penyediaan tandas awam yang Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) kepada komuniti setempat.
“Semoga dengan anugerah yang diterima ini akan meningkatkan semangat MPKj bagi meneruskan projek penyediaan tandas yang kondusif serta BMW,” katanya dalam kenyataan.
MPKj turut merakam penghargaan kepada KPKT atas sokongan dan peruntukan yang membolehkan pelbagai projek berkaitan kebersihan awam dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Program TOTYA’25 bukan sahaja mengiktiraf pengurusan tandas cemerlang, malah bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan kebersihan tandas kepada kesihatan dan imej negara.
Anugerah tersebut menilai pelbagai aspek termasuk reka bentuk, penyelenggaraan, kemudahan mesra OKU serta keberkesanan sistem pengurusan tandas oleh PBT.





