GOMBAK, 20 NOV: Runtuhan struktur sementara kanopi keluli di tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 8 yang menghempap sebuah kereta semalam dipercayai berpunca daripada pelanggaran jentera boom skylift ketika kerja pemeriksaan dijalankan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, siasatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati jentera tersebut melanggar struktur ketika subkontraktor membuat pemeriksaan ketebalan cat.
“Struktur perlindungan itu juga didapati tidak direka untuk menampung beban hentakan, mengakibatkan ia gagal berfungsi apabila dirempuh.
“Selain itu, kerja berisiko tinggi ini dilakukan tanpa Permit Kerja bertulis daripada kontraktor utama, China Communication Construction Sdn Bhd,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan khas ke tapak projek di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala Batu Caves, hari ini.
Berikutan insiden tersebut, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengarahkan baki struktur kanopi yang masih ada dibuka segera bagi mengelakkan risiko kejadian berulang.
Menurut Abdul Rahman, pemandu boom skylift telah dipanggil untuk siasatan lanjut.
“Siasatan terperinci sedang diteruskan. Kita tidak menuduh mana-mana pihak selagi siasatan belum selesai. Jika didapati bersalah, tindakan tegas termasuk denda akan dikenakan,” jelas beliau, lapor Sinar Harian.
Beliau turut mengarahkan JKKP menjalankan pemeriksaan keseluruhan di kawasan jajaran ECRL berhampiran jalan raya bagi memastikan semua kerja pembinaan mematuhi peraturan keselamatan.
“Kontraktor perlu mematuhi Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, termasuk memastikan pentaksiran risiko dilakukan sejak peringkat reka bentuk hingga projek siap,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman memaklumkan wanita yang nyaris maut dalam kejadian tersebut tidak mengalami kecederaan serius namun mengalami trauma.
“Mangsa diberi cuti sakit tiga hari, manakala keretanya disahkan 'total loss'. Urusan seterusnya diserahkan kepada pihak insurans dan agensi berkaitan,” katanya.




