ad

Kanak-kanak warga Rusia maut disengat ubur-ubur di Langkawi

19 Nov 2025, 12:46 PM
Kanak-kanak warga Rusia maut disengat ubur-ubur di Langkawi

SHAH ALAM, 19 NOV: Seorang kanak-kanak lelaki warga Rusia maut disengat ubur-ubur ketika mandi di Pantai Cenang, Langkawi pada Sabtu lalu.

Mangsa, Vladimir Iakubanets, 2, yang diiringi keluarganya menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.46 pagi hari ini.

Bapanya yang dikenali sebagai Nikita, 32, berkata, anak mengalami komplikasi serius daripada sengatan haiwan beracun itu, lapor Harian Metro.

"Dalam kejadian Sabtu lalu, ketika mandi di kawasan air cetek, tiba-tiba dia menjerit kesakitan. Isteri saya terus mengangkatnya, serahkan kepada saya dan kami bawa dia naik ke pantai.

"Dalam beberapa saat saja, dia berhenti bernafas. Saya cuba buat CPR (bantuan pernafasan kecemasan) secepat mungkin. Ada pelancong lain datang membantu dan bawa kami kepada penyelamat pantai.

"Mereka hanya cuci luka dengan cuka sebelum hantar ke klinik dan kemudian ke hospital," katanya ketika ditemui di HSB hari ini.

Nikita yang berasal dari Khabarovsk, Rusia berkata, pasukan perubatan di Langkawi dan Alor Setar sudah berusaha menyelamatkan Vladimir.

Katanya, mereka juga tidak berniat mengambil sebarang tindakan undang-undang, namun berharap tragedi itu menjadi peringatan kepada pengunjung mengenai bahaya sengatan ubur-ubur.

"Kami percaya kejadian menimpa Vladimir adalah untuk selamatkan orang lain, untuk elakkan tragedi sama berulang.

"Vladimir sangat baik dan bijak, kami keluarga yang bahagia," katanya dalam nada sebak.

Isterinya, Olga, 32, berkata, mereka mahu pemergian kanak-kanak itu membawa makna kerana Vladimir sejak kecil dikenali sebagai anak yang suka membantu.

"Dia wira kami… malaikat kecil kami. Setiap hari kami beritahu kami sayang dia dan dia selalu balas dia sayang kami," katanya.

Pasangan itu merancang membawa abu Vladimir pulang ke Rusia selepas proses pembakaran mayat selesai.