ad

Penganalisis sukan: FAM diingat jangan ego bawa kes pemain warisan ke mahkamah

19 Nov 2025, 11:44 AM
Penganalisis sukan: FAM diingat jangan ego bawa kes pemain warisan ke mahkamah
Penganalisis sukan: FAM diingat jangan ego bawa kes pemain warisan ke mahkamah
Penganalisis sukan: FAM diingat jangan ego bawa kes pemain warisan ke mahkamah

SHAH ALAM, 19 NOV: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diingatkan supaya tidak bersikap ego dengan mengheret kes pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Penganalisis sukan Dato’ Dr Pekan Ramli berkata FAM perlu menyelesaikan isu berkenaan secara matang, termasuk melakukan analisis yang lebih terperinci dalam laporan yang didedahkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Kita takut kedegilan kita ini bakal ditertawakan lagi dan jadi bahan senda gurau yang akan menyakitkan hati semua rakyat Malaysia. Kita perlu fikirkan untuk selesaikan hal ini dengan pemikiran yang matang, bukan dengan ego tinggi.

“Saya berpandangan, FAM bacalah sepuas-sepuasnya laporan FIFA itu untuk memperincikan setiap bukti yang FIFA ada. Buatlah sedikit kajian atau analisis, adakah sebarang kelebihan atau kekuatan kepada FAM?

“Saya amat risau kerana kalau lihat laporan FIFA, seolah-olah tiada ruang untuk kita cabar FIFA. Kita takut imej kita jadi lebih teruk lagi dan kita akan berdepan nasib yang mungkin akan menjejaskan lagi masa depan bola sepak kita,” katanya kepada Media Selangor.

Semalam, FAM mengesahkan akan membawa kes membabitkan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan ke CAS selepas proses rayuan gagal memberikan keputusan memihak kepada badan induk itu.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata langkah tersebut dibuat bagi memastikan kes berkenaan diadili sebaik mungkin serta selaras dengan prosedur undang-undang yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Dr Pekan menyelar sikap membisu ahli gabungan FAM yang langsung tidak bersuara untuk menegur kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran badan induk sukan bola sepak negara itu.

Menurutnya, ahli gabungan FAM selaku pemegang taruh utama sepatutnya perlu lebih lantang bersuara berikutan mereka juga turut terbabit dalam mencatur setiap keputusan penting.

“Mereka ini ahli gabungan dan pemegang taruh utama. Mereka adalah orang yang mencatur sebarang keputusan dan memilih ahli pentadbir FAM. Kalau mereka diam sahaja apa makna ahli gabungan ini,” katanya.

Jawatankuasa Rayuan FIFA semalam mendedahkan alasan bertulis di sebalik keputusan mengekalkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan berhubung isu pemalsuan dokumen.

Menerusi dokumen di laman rasmi mereka, FIFA mendedahkan laporan terperinci setebal 64 muka surat mengenai keputusan Jawatankuasa Rayuan yang diumumkan 3 November lalu.

September lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan denda 350,000 Swiss franc (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala tujuh pemain masing-masing dikenakan denda 2,000 Swiss franc (RM10,600) serta digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Tujuh pemain itu adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.