SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan mengalu-alukan pelabur asing untuk bekerjasama dalam pembangunan industri nadir bumi (REE), namun perlu mematuhi syarat ditetapkan di semua peringkat.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata proses rundingan bagi pembangunan sektor REE juga perlu melibatkan kerajaan negeri dengan menilai lokasi operasi dan kesan terhadap alam sekitar.
Beliau turut memaklumkan rundingan itu perlu mengambil kira implikasi terhadap masyarakat setempat seperti peluang pekerjaan selain cukai yang diperoleh kerajaan sebelum pembangunan projek REE diluluskan.
“Pelabur boleh datang, tetapi mereka mesti melalui proses yang kita tentukan. Dalam konteks projek seperti REE, rundingan dengan kerajaan persekutuan sahaja tidak cukup. Mereka juga perlu melalui proses di kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri ada kuasa untuk menentukan di mana mereka boleh beroperasi. Semua ini adalah jaringan yang mesti dibuat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Johari berkata, perjanjian pembangunan REE yang dimeterai sebelum ini dianggap selesai, namun masih terdapat proses susulan bagi memastikan kedaulatan dan hak negara terus terpelihara.





