SHAH ALAM, 19 NOV: Remaja lelaki bertindak di luar kawalan apabila menoreh belakang badan dan lengan kiri bapanya menggunakan pisau selepas berang ditegur tidak hadir ke sekolah.
Kejadian berlaku jam 6.10 petang di rumah mereka di Batu 4, Jalan Gombak kelmarin ketika berlaku pertengkaran antara anak dan bapanya.
Menurut sumber, remaja berusia 17 tahun berkenaan dikatakan tidak berpuas hati selepas ditegur, sebelum berlaku pertengkaran yang membawa kepada insiden mencederakan mangsa berusia 47 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 6.42 petang hari sama.
“Kejadian berlaku akibat salah faham antara mereka, mengakibatkan mangsa cedera pada bahagian belakang dan lengan kiri ditoreh menggunakan pisau.
“Mangsa sudah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata suspek ditahan sejurus selepas kejadian dan direman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.




