ad

Pajero ditemui 1.5km dari lokasi kepala air, mangsa masih hilang

19 Nov 2025, 6:12 AM
Pajero ditemui 1.5km dari lokasi kepala air, mangsa masih hilang

SHAH ALAM, 19 NOV: Kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma ditemui pagi tadi, namun mangsa yang hilang masih belum dijumpai.

Kenderaan itu ditemui pada jam 8.30 pagi, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersambung semula.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata kenderaan tersebut ditemui selepas paras air Sungai Klang menurun hampir satu meter.

“Cuaca hari ini agak baik dan operasi SAR akan diteruskan sehingga 7 malam. Penemuan kenderaan ini membantu kita memfokuskan semula laluan arus yang mungkin membawa mangsa,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata kereta itu kemudian diserahkan kepada syarikat pemilik kenderaan terbabit.

Menurutnya, operasi SAR digembleng sepenuhnya dengan penyertaan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk 21 penyelam yang ditugaskan di empat zon pencarian.

Kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma ditemui pagi tadi. Foto Facebook Skuad Penyelamat DBKL

“Dron, bot kecil dan kayak turut digunakan bagi menyusuri hampir 20 kilometer aliran Sungai Klang. Kita pecahkan kawasan kepada empat zon dan pencarian ini akan melepasi sempadan Selangor,” katanya.

Sazalee turut memaklumkan telefon mangsa yang masih berdering semalam kini tidak lagi aktif, namun polis sedang mengumpulkan klu baharu bagi mengecilkan radius pencarian.

“Semalam arus deras namun hari ini air lebih tenang, jernih dan kurang berbahaya untuk penyelam. Empat sektor pencarian yang ditetapkan sejak semalam diteruskan, dengan laluan 20 kilometer akan diteliti secara menyeluruh,” katanya.

Beliau menambah mana-mana struktur sungai yang mencurigakan atau menjadi halangan akan dijadikan ‘hotspot’ untuk penyelam melakukan pemeriksaan.

Kelmarin, seorang lelaki yang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dihanyutkan kepala air kira-kira jam 5.40 petang.

Daripada 13 pekerja di lokasi, 12 berjaya diselamatkan, melibatkan tujuh warga Indonesia, empat Bangladesh dan seorang rakyat tempatan.