ad

Selangor tingkat kecekapan agih bantuan bencana, jaga kebajikan mangsa

19 Nov 2025, 4:58 AM
Selangor tingkat kecekapan agih bantuan bencana, jaga kebajikan mangsa

SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan Negeri akan memantau proses penyaluran bantuan bencana bagi memastikan setiap mangsa menerima bantuan dalam tempoh yang sewajarnya dan tidak terlalu lewat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini, bantuan seperti kerja baik pulih yang diuruskan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI biasanya dapat dilaksanakan dalam tempoh 48 jam.

“Sekiranya berlaku bencana, kebajikan dan baik pulih disalurkan melalui beberapa sumber termasuk Yayasan MBI serta agensi berkaitan seperti zakat.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, Yayasan MBI sentiasa menyalurkan bantuan. Contohnya, dalam insiden ribut di Sijangkang dan Meru, dana sebanyak RM400,000 telah disalurkan. Bagaimanapun, bagi aset persendirian, ia tertakluk kepada tatakelola agensi masing-masing.

“Kita akan mempertimbangkan perkara ini dan melihat bagaimana proses bantuan dapat dipercepat, pastkikan kebajikan terbela,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada Oktober lalu, Yayasan MBI menyalurkan bantuan awal berjumlah RM400,000 untuk membaik pulih sekolah serta rumah penduduk yang terjejas akibat ribut kuat di Sijangkang dan Meru.

Bantuan itu meliputi kerja pembaikan seperti penggantian bumbung dan pemulihan kemudahan asas sekolah. Daripada jumlah tersebut, RM300,000 diperuntukkan bagi kawasan terjejas, manakala RM100,000 lagi disumbangkan melalui dana zakat wakalah MBI.