BAITULMAQDIS, 19 NOV: Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Said Sabri didakwa di Mahkamah Majistret Israel di Baitulmaqdis pada Selasa atas pertuduhan “menghasut”, lapor agensi berita Anadolu (AA).
Pertuduhan tersebut difailkan pendakwa raya Israel pada Ogos 2024 dan merujuk kepada dua ucapan takziah yang disampaikan beliau pada 2022, selain ucapan takziah susulan kematian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran pada 2024.
Sheikh Dr Ekrima, 87, yang juga bekas mufti besar Palestin hadir ke mahkamah berkerusi roda ditemani peguam serta beberapa penyokong Palestin.
Peguam belanya, Khaled Zaharia sebelum ini menyifatkan pertuduhan tersebut sebagai “rekaan” dan tidak berasas.
“Kami akan meminta mahkamah supaya mengemukakan bukti lanjut yang diperlukan bagi menolak pertuduhan ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendakwaan tersebut merupakan usaha Israel untuk “menyasarkan peranan dan pengaruh” tokoh agama berpengaruh itu di Baitulmaqdis.
Menurut Zaharia, Sheikh Dr Ekrima berdepan tekanan berterusan daripada pihak berkuasa Israel, termasuk kempen hasutan oleh kumpulan pelampau sayap kanan yang secara terbuka menggesa agar beliau disasarkan dan dibunuh.
Selepas pertuduhan dibacakan, mahkamah menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh prosiding seterusnya.
Sheikh Dr Ekrima sebelum ini turut dikenakan larangan memasuki Masjid Al-Aqsa selama enam bulan pada Ogos 2024 kerana menyampaikan ucapan takziah atas kematian Haniyeh.
Beliau juga beberapa kali diambil tindakan oleh Israel berhubung khutbahnya yang menyokong Gaza, selain tekanan daripada pegawai kanan Israel termasuk Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir dan Menteri Dalam Negeri Moshe Arbel.
Masjid Al-Aqsa merupakan tapak ketiga paling suci bagi umat Islam dan terletak di Baitulmaqdis Timur, wilayah yang diduduki Israel sejak Perang Arab-Israel 1967 sebelum diilhak pada 1980 dalam langkah yang tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Sejak Oktober 2023, tindakan Israel di Baitulmaqdis dan Tebing Barat menyebabkan lebih 1,074 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 20,500 ditahan.
Jumlah korban di Gaza melebihi 69,000 sebelum gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.




