KUALA LUMPUR, 18 NOV: Kapasiti depot tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika ini masih mencukupi untuk menempatkan pendatang tanpa izin yang ditahan hasil operasi penguatkuasaan di seluruh negara, kata Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban.
Beliau berkata JIM menguruskan 21 depot dengan keseluruhan kapasiti lebih 21,000 orang dan ketika ini masih mempunyai kira-kira 500 baki kekosongan, selain terdapat proses pengusiran harian yang memastikan ruang sentiasa tersedia.
“Setiap hari ada pengusiran, dalam 200 hingga 300 orang. Setiap hari juga ada tangkapan. Jadi angka ini akan berubah-ubah, tetapi kita pastikan depot sentiasa mempunyai kapasiti,” katanya pada sidang media Majlis Sambutan Perayaan Deepavali peringkat JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), di sini hari ini.
Beliau berkata komposisi tahanan paling ramai dalam depot ketika ini adalah warga Myanmar iaitu 8,884 orang termasuk 5,102 etnik Rohingya diikuti Filipina (4,727) dan Indonesia (3,838).
Zakaria berkata pihaknya juga dalam proses menyediakan pusat pengasingan dan logistik yang diperlukan sebelum Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) terhadap pelarian yang dijangka dilaksanakan bermula seawal Januari ini.
“Pada masa ini, kita bergantung data Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dengan kita tidak dapat pastikan sama ada data dikeluarkan itu tepat ataupun tidak, dan pemerhatian kita berkemungkinan (jumlah pelarian) lebih daripada apa dilaporkan kepada kita.
“Jadi kerajaan mengambil keputusan untuk melakukan pendaftaran semula semua pelarian termasuk Rohingya dan kita sudah mempunyai hala tuju seterusnya selepas pendaftaran ini. Itu mungkin Menteri Dalam Negeri atau Perdana Menteri sendiri akan buat pengumuman apa langkah selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 60 pegawai JIM dibuang kerja atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah manakala 301 lagi diambil tindakan termasuk dipindahkan jabatan dan digantung bagi kes tatatertib sepanjang 2022 hingga tahun ini.
Sementara itu, mengulas insiden bot karam membabitkan etnik Rohingya di Kedah baru-baru ini, Zakaria berkata pihaknya membantu dari segi urusan dokumentasi serta pengesahan kewarganegaraan mangsa manakala siasatan dari segi kemungkinan aspek jenayah dan penyeludupan manusia dilaksanakan polis.
“Sebahagian individu yang dijumpai tidak memiliki sebarang dokumen, menyebabkan JIM perlu mendapatkan pengesahan negara asal mereka sebelum tindakan lanjut dapat diambil,” katanya.
-- BERNAMA
TAG: JIM, depot, DPP, Rohingya, inisiatif




