SHAH ALAM, 18 NOV: Kerajaan Negeri memandang serius insiden bahan binaan dari tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang terjatuh di MRR2 dan menghempap sebuah kereta yang sedang bergerak.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lin berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor mengarahkan pihak ECRL menjalankan kerja pembersihan segera serta meningkatkan langkah keselamatan di lokasi pembinaan.
Katanya, kerja pembinaan tidak dihentikan, namun Majlis Perbandaran Selayang (MPS) diarahkan menjalankan siasatan bagi memastikan semua kontraktor mematuhi prosedur keselamatan.
“Kontraktor terlibat mesti memberikan penjelasan dan mengemukakan langkah penambahbaikan. Jika terbukti berlaku kecuaian, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Dalam kejadian itu, seorang wanita nyaris cedera selepas kereta dipandunya dihempap struktur besi di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Batu Caves.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.47 tengah hari.
“Komander operasi melaporkan terdapat runtuhan binaan projek ECRL menghempap sebuah Suzuki Swift. Setibanya pasukan bomba di lokasi, mangsa sudah dikeluarkan orang awam,” katanya.
Beliau berkata pasukan bomba memantau kawasan bagi memastikan tiada risiko lain, manakala pemandu wanita tersebut dilaporkan tidak cedera.



