SHAH ALAM, 18 NOV: Seorang penyelia tapak pembinaan yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma semalam disifatkan keluarga sebagai seorang yang mahir berenang, namun arus deras menyukarkan usaha menyelamat diri.
Adik mangsa, K Suren, 32, berkata beliau menghubungi abangnya, K Suresh, 34, jam 3 petang semalam sebelum kejadian dan dimaklumkan cuaca hujan di lokasi tempatnya bertugas.
“Abang sudah 70 hari bertugas di lokasi itu. Dia pandai berenang dan pernah mengajar orang berenang. Tapi bila air deras dan kuat, mungkin dia tidak sempat berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Suren, keluarga hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada bapa mereka jam 8.30 malam.
Mangsa yang menetap di Rawang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun.
Tinjauan mendapati ahli keluarga hadir sejak pagi bagi mengikuti perkembangan SAR yang dijalankan pasukan keselamatan.
Semalam, kejadian sekitar jam 5.30 petang itu menerima maklum balas segera selepas Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung banjir kilat melibatkan sekumpulan pekerja.
Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa bersama bantuan BBP Jalan Hang Tuah bergegas ke lokasi sebelum mendapati 12 mangsa terperangkap di bawah jambatan.
Pasukan operasi kemudian menyelamatkan 11 mangsa menggunakan teknik tali, membabitkan seorang warga tempatan dan 10 warga asing.
Mangsa terakhir, dipercayai Suresh, hilang selepas dihanyut arus ketika cuba mengalihkan kenderaannya yang diletakkan di bawah jambatan sebelum kepala air melanda.




