SHAH ALAM, 18 NOV: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan menjalankan siasatan terhadap operasi dalaman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Perkara itu dinyatakan Jawatankuasa Rayuan FIFA menerusi laporan bertulis setebal 64 muka surat yang didedahkan hari ini. Jawatankuasa tersebut turut mengarahkan sekretariat badan induk bola sepak dunia itu memulakan proses siasatan berkenaan.
Menurut jawatankuasa itu, berdasarkan bukti yang dikemukakan dan hasil prosiding kes, terdapat asas kukuh untuk memulakan siasatan lanjut selaras dengan Artikel 30, 35 dan 55(1)(f) serta 55(2) Kod Tatatertib FIFA (FDC), lapor Berita Harian.
“Peruntukan ini memberi kuasa kepada jawatankuasa untuk mengeluarkan arahan bagi memastikan semua aspek salah laku atau implikasinya disiasat sepenuhnya.
“Sehubungan itu, jawatankuasa mengarahkan sekretariat supaya mengambil langkah segera memulakan siasatan rasmi terhadap operasi dalaman FAM.
“Siasatan ini hendaklah bertujuan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab terhadap pemalsuan dokumen, menilai keberkesanan mekanisme pematuhan serta tadbir urus dalaman FAM, dan menentukan sama ada tindakan disiplin tambahan perlu dikenakan terhadap pegawai FAM.
“Sebagai fokus awal, siasatan mesti meneliti peranan Setiausaha Agung FAM serta dua ejen yang disebut dalam prosiding ini iaitu Nicolas Puppo dan Frederico Moraes. Pembabitan mereka menimbulkan kebimbangan serius yang memerlukan penelitian menyeluruh,” jelas jawatankuasa itu.
Jawatankuasa berkenaan turut mengarahkan satu siasatan berasingan dimulakan berhubung penggunaan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan yang dirujuk dalam prosiding kes tersebut.
“Siasatan ini hendaklah menentukan bagaimana pemain berkenaan dibenarkan beraksi dan sama ada tindakan lanjut perlu diambil,” katanya.
Pada September lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM. Tujuh pemain terbabit pula masing-masing didenda CHF2,000 (RM10,600) dan digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
Tujuh pemain tersebut ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.




