SHAH ALAM, 18 NOV: Kerajaan Negeri menerima 123,343 permohonan Skim Khairat Darul Ehsan (KDE) setakat Oktober lalu, kata EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 99,621 permohonan diluluskan, manakala 17,845 dalam proses semakan, 5,259 tidak lengkap dan 618 ditolak.
“Bagi program ini, Selangor memperuntukkan RM20 juta. Namun tuntutan kematian belum mencapai RM10 juta. Ini menunjukkan masih ramai yang tidak mengetahui tentang program ini.
“Oleh itu, kita akan mengkaji tatacara baharu bagi memindahkan terlebih dahulu ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) ke program KDE supaya lebih ramai menerima manfaat,” katanya menjawab soalan tambahan wakil rakyat Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron, pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Terdahulu, Anfaal memaklumkan 385,903 ahli SMUE layak didaftarkan di bawah KDE.
Bagaimanapun, hanya 89,346 individu telah mendaftar, manakala selebihnya masih belum mengemas kini maklumat dan melengkapkan pendaftaran.
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 juta bagi menjayakan skim KDE yang dijangka memberi manfaat kepada 20,000 penerima.
Bantuan khairat kematian warga emas melalui SMUE pernah dihentikan pada Mei 2019 sebelum disambung semula pada 2021 dengan peruntukan RM7.5 juta, membolehkan waris menerima RM500.
KDE yang ditambah baik kini menawarkan pampasan lebih tinggi serta liputan kumpulan sasaran lebih luas, seiring usaha Kerajaan Negeri memartabatkan kebajikan rakyat.
Menerusi Belanjawan 2026, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengekalkan peruntukan RM15 juta bagi meringankan beban waris menerusi bantuan khairat kematian sebanyak RM1,000.
Permohonan baharu atau kemas kini maklumat boleh dibuat secara dalam talian melalui portal kde.yawas.com.my.





