SHAH ALAM 18 NOV: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan Jawatankuasa Hubungan Industri TVET yang berperanan menyediakan kurikulum sesuai kehendak semasa kepada pelajar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata jawatankuasa yang dianggotai tiga pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan lima pengarah bahagian KPM turut menyediakan platform latihan pekerjaan serta laluan kerjaya kepada pelajar TVET.
"Ini merupakan usaha kita untuk memastikan silibus yang kita ada selaras dengan kehendak industri selain laluan kerjaya terjamin kepada graduan TVET," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Gombak, Dato' Seri Amirudin Shari dalam Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Wong berkata KPM telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) yang menitikberat kepentingan pakej Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) A dan STEM B
Surat pekeliling itu antara lain, kata Wong, meminta semua pengetua, guru bimbingan dan guru kaunseling memberi nasihat kepada murid tingkatan empat supaya memilih Pakej A atau Pakej B mengikut kecenderungan.
"Pihak sekolah harus memastikan sekolah menawarkan sekurang-kurangnya satu kelas pakej STEM A bermula 2025," katanya lagi.
Pakej Stem A memerlukan pelajar mengambil semua mata pelajaran sains tulen (Fizik, Kimia, Biologi) dan Matematik Tambahan.
Manakala Pakej Stem B memerlukan pelajar mengambil sekurang-kurangnya dua mata pelajaran sains tulen dan Matematik Tambahan, serta satu mata pelajaran elektif STEM atau bukan STEM.





