ad

EXCO: Selangor sedia guna MyDigital ID pertingkat urus tadbir negeri

18 Nov 2025, 5:22 AM
EXCO: Selangor sedia guna MyDigital ID pertingkat urus tadbir negeri
EXCO: Selangor sedia guna MyDigital ID pertingkat urus tadbir negeri

SHAH ALAM, 18 NOV: Selangor menerima cadangan untuk mengguna pakai platform pengenalan diri dalam talian di Malaysia, MyDigital ID di semua pentadbiran Kerajaan Negeri.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata keputusan itu sebahagian daripada usaha memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri terus ditambah baik.

"Inisiatif memperkenal MyDigital ID usaha bagus kerajaan persekutuan. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu menerima pembentangan daripada kementerian berhubung penggunaan dan terma pakai MyDigital ID di Selangor.

"Keputusan MMKN menerimanya sebagai satu cadangan untuk mengguna pakai di semua peringkat di Selangor. Ini merupakan inisiatif dan usaha baik kerajaan persekutuan dan negeri dalam menjayakan projek MyDigital ID," katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Terdahulu, beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Jeram Dato’ Harrison Hassan berhubung hasrat Selangor mengikut jejak langkah kerajaan persekutuan untuk MyDigital ID khususnya hal berkaitan Kerajaan Negeri.

MyDigital ID pertama kali diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim November tahun lalu dan diiktiraf di peringkat nasional sebagai bentuk pengurusan pengenalan digital yang dipercayai.

Menerusi platform itu, ia menyediakan pengesahan yang selamat untuk transaksi dalam talian dan menangani kelemahan yang terdapat dalam sistem pengesahan identiti secara dalam talian sedia ada.

Malah, kios pendaftaran MyDigital ID telah ditempatkan di 200 cawangan JPN, lapan cawangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional serta 357 cawangan Tealive di seluruh negara dan setakat ini, lebih 600,000 orang telah mendaftar dengan MyDigital ID.

Berhubung kecerdasan buatan (AI), Sze Han memaklumkan Selangor mengambil beberapa langkah strategik antaranya menubuhkan jawatankuasa yang berperanan dalam merangka dasar dan pelan hala tuju termasuk memantau ekosistem teknologi tersebut.

"Kerajaan Negeri juga meluluskan cadangan pelaksanaan inisiatif AI dengan kerjasama antara Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) dengan Google Cloud Malaysia bagi meneraju teknologi ini di Selangor.

"Kita juga meluluskan cadangan penyediaan kertas putih berkaitan hala tuju teknologi AI yang diterajui Institut Kajian Selangor dengan kerjasama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU)," katanya.