KHARTOUM, 18 NOV: Lebih 100,000 orang awam dilaporkan hilang tempat tinggal sejak bandar El-Fasher dikuasai pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) bulan lalu, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pada Isnin.
Dalam satu kenyataan, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mendedahkan seramai 100,537 orang melarikan diri dari bandar berkenaan ke 23 kawasan penempatan di sembilan daripada 18 negeri Sudan, lapor Anadolu Ajansi.
IOM berkata pasukannya melaporkan keadaan keselamatan yang sangat tidak menentu di sepanjang laluan perpindahan, yang boleh menjejaskan pergerakan orang awam.
Awal Isnin, Agensi Pelarian PBB (UNHCR) memaklumkan bahawa lebih ramai pelarian dari El-Fasher tiba di bandar Al-Dabba, utara Sudan setiap jam.
Dalam perkembangan berasingan, Pendakwa Raya Sudan merekodkan 1,365 aduan daripada orang awam dari El-Fasher di Darfur Utara serta negeri-negeri Kordofan berhubung pelanggaran yang didakwa dilakukan RSF.
Pejabat pendakwa raya berkata Peguam Negara Intisar Ahmed Abdel-Aal melawat kem-kem pelarian di Al-Dabba untuk meneliti skala pelanggaran yang berlaku di El-Fasher dan Kordofan.
Kumpulan itu kini menguasai kelima-lima negeri Darfur daripada keseluruhan 18 negeri Sudan, manakala tentera kerajaan menguasai kebanyakan 13 negeri lain, termasuk Khartoum.
Darfur merangkumi kira-kira satu perlima wilayah Sudan, namun majoriti daripada 50 juta penduduk negara itu tinggal di kawasan yang dikuasai tentera.




