SHAH ALAM, 17 NOV: Pengamal media disaran lebih berwaspada dalam menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk aplikasi seperti ChatGPT bagi mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan reputasi individu mahupun organisasi.
Ketua Editor Media Selangor Noor Azam Shairi berkata penggunaan teknologi tanpa semakan rapi boleh membawa implikasi besar, seperti kesilapan laporan sebuah akhbar berpengaruh di Pakistan baru-baru ini yang mengundang kecaman global.

“Reputasi yang dibina selama 84 tahun boleh musnah sekelip mata gara-gara kecuaian menggunakan AI dan ChatGPT. Akhirnya menjadi bahan lawak dunia,” katanya ketika berucap pada majlis Media Selangor: Malam Apresiasi Rakan Media di Platform 19 Cafe di sini, malam tadi.
Noor Azam menegaskan reputasi profesional adalah aset penting pengamal media, justeru setiap laporan perlu melalui proses semakan menyeluruh bagi menjaga nama baik individu, organisasi serta jenama media.
“Reputasi ini jika tidak dijaga, ia tidak bermakna apa-apa. Reputasi individu hancur, reputasi syarikat terjejas, reputasi jenama juga musnah.
“Walaupun teknologi memudahkan tugas kita, ada perkara yang perlu dipelihara. Penggunaan AI, proses semak fakta, ketelitian dalam laporan namun semua ini cabaran besar yang mesti diberi perhatian,” katanya.
Beliau turut berharap hubungan media di Selangor terus diperkukuh menjelang tahun depan yang dijangka lebih sibuk dengan sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor, penganjuran Sukan Malaysia Selangor serta pembentangan Rancangan Selangor Kedua






