JOHOR BAHRU, 17 NOV: Sebanyak 31 remaja tempatan bawah umur ditahan selepas dipercayai bekerja secara separuh masa dengan menggunakan kad pengenalan orang lain di sebuah kilang kotak di Taman Teknologi Johor, Senai di sini hari ini.
Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Mohammad Khairu Farhan Md Saad berkata hasil siasatan mendapati kesemua mereka iaitu 16 lelaki dan 15 perempuan, menggunakan kad pengenalan termasuk milik ahli keluarga bagi tujuan mendapatkan pekerjaan.
Beliau berkata sebahagian daripada mereka didapati telah berhenti sekolah seawal usia 12 tahun dan sebahagiannya pula masih bersekolah dengan memberikan alasan bekerja di kilang itu ketika cuti persekolahan.
"Kesemua remaja yang ditahan ini berusia di bawah 18 tahun dan paling muda adalah 14 tahun," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohammad Khairu Farhan berkata mereka merupakan antara 117 individu termasuk 86 warga asing yang ditahan di kilang berkenaan, menerusi Ops Kotak hasil kerjasama JPN dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri.
Beliau berkata operasi itu melibatkan 56 anggota penguat kuasa dari JPN Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka serta 30 penguat kuasa JIM.
“Kesemua 86 warga asing terdiri daripada 67 wanita dan 19 lelaki termasuk dari Indonesia dan Filipina itu, didapati turut menggunakan kad pengenalan orang lain dan kad pengenalan palsu yang dipercayai diperoleh daripada ejen di negara masing-masing,” katanya.
Mohammad Khairu Farhan berkata mereka yang ditahan dibawa ke Pejabat JPN di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata kes akan disiasat mengikut Peraturan 25(1) (E) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).




