ad

Serangan siber meningkat, Kerajaan Negeri perkukuh pertahanan digital

17 Nov 2025, 9:30 AM
Serangan siber meningkat, Kerajaan Negeri perkukuh pertahanan digital

SHAH ALAM, 17 NOV: Selangor mencatatkan peningkatan ketara dalam insiden serangan siber iaitu lapan kes pada 2023, 18 kes pada 2024, 25 kes tahun ini.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata pningkatan itu sudah dijangka susulan usaha Kerajaan Negeri mempelbagaikan penggunaan teknologi digital.

"Antara agensi yang menjadi tumpuan serangan melibatkan laman sesawang Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) melibatkan sistem-sistem ringkas," katanya ditemui di Bangunan SUK hari ini.

Beliau menekankan bahawa serangan tersebut tidak menjejaskan sistem perakaunan atau data pengguna dan tahap sofistikasi serangan juga masih pada peringkat rendah.

Tegasnya, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah sewajarnya bagi meningkatkan keselamatan siber.

Isu serangan ini diteliti secara harian oleh pihak berkuasa, dan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dianggap penting untuk memastikan keselamatan menyeluruh.

"Kerajaan Negeri sedar akan serangan ini dan sedang bersiap sedia menghadapi cabaran akan datang. Serangan yang diterima hanyalah ujian kepada sistem sedia ada, dan tidak menjejaskan operasi pentadbiran," tambahnya.

Terdahulu, Fahmi yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia menjawab soalan ADN Selat Klang Abdul Rashid Asari dengan memaklumkan bahawa Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah dilantik sebagai Ketua Sektor NCII (Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara).

Pelantikan itu dibuat melalui surat yang ditandatangani perdana menteri pada 28 Januari lalu, selaras dengan peruntukan Akta Keselamatan Siber 2024.

Beliau menjelaskan bahawa Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor kini giat menyediakan Tataamalan (Code of Practice) Keselamatan Siber yang akan digunakan oleh semua jabatan dan agensi yang bakal dikenal pasti sebagai Entiti NCII.

Menurutnya, beberapa penambahbaikan sedang dilaksana termasuk pengukuhan rangkaian dan pusat data melalui teknologi keselamatan serta pelaksanaan sistem sandaran berlapis bagi memastikan kesinambungan operasi dan perlindungan maklumat kritikal Kerajaan Negeri.

Fahmi turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sedang meneliti keperluan mengintegrasikan Threat Intelligence Platform (TIP) bagi memperoleh maklumat ancaman global secara lebih proaktif serta meningkatkan keupayaan amaran awal terhadap taktik dan teknik serangan siber terkini.