ALOR SETAR, 17 NOV: Sebanyak 14,000 warga Myanmar daripada etnik Rohingya dikenal pasti tinggal di Kedah, setakat ini.
Pengarah Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata kebanyakan warga asing itu memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah.
"JIM Kedah membuat profiling semua etnik Rohingya di negeri ini, di semua daerah ada etnik Rohingya … apabila kita masuk (ke kawasan mereka berada), kebanyakan mereka ada kad UNHCR.
"Mereka ada di semua tempat, di Kota Setar, di Pendang, di Baling semua ada dan dari semasa ke semasa kita kemas kini profiling mereka, dalam data kami di Kedah ini ada 14,000 warga Rohingya yang berselerakan di seluruh negeri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata JIM melaksanakan operasi dan pemeriksaan dari semasa ke semasa terhadap warga asing itu dan akan melakukan tangkapan sekiranya mereka didapati tidak memiliki dokumen yang sah.
Mohd Ridzzuan berkata cabaran dihadapi pihaknya adalah untuk menempatkan warga asing yang ditahan di depot tahanan yang kini sudah melebihi kapasiti.
Depot Imigresen Belantik di Sik yang mempunyai kapasiti tahanan sebanyak 950 orang kini menempatkan 1,432 tahanan dengan majoritinya ialah warga Myanmar.
"Daripada 1,432 tahanan, 1,217 tahanan ialah warga Myanmar dan daripada warga Myanmar itu kita pecahkan kepada dua kategori, iaitu warga Myanmar etnik Rohingya sebanyak 522 dan bukan etnik Rohingya 695 orang.
"Bagi warga Myanmar bukan etnik Rohingya kita tidak ada masalah untuk mengusir mereka pulang ke negara asal, tetapi bagi etnik Rohingya mereka tidak diiktiraf sebagai warganegara Myanmar sekali gus mengekang usaha mengusir mereka dari negara ini," katanya.
Keadaan itu menyebabkan ada antara mereka berada di depoh tahanan selama lapan tahun, dan kebanyakan etnik Rohingya itu ditahan ketika cuba memasuki negara ini melalui jalan laut.
Sebelum ini, media melaporkan insiden bot karam yang dikatakan membawa lebih 70 pendatang tanpa izin etnik Rohingya setakat ini mengorbankan 29 nyawa, manakala 14 lagi selamat, di perairan sempadan Malaysia-Thailand di Langkawi.




