SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan akan meminda tiga akta utama pada tahun depan bagi membolehkan pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) oleh syarikat konsesi, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya.
Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata pindaan akan melibatkan Akta Jalan Persekutuan, Akta Pengangkutan Jalan, dan Akta Lembaga Lebuhraya Malaysia, yang akan dilaksanakan selepas perbincangan teknikal dan libat urus bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
“Perkara yang akan dipinda ialah tentang kesalahan tidak bayar tol dan siapakah yang hendak melaksanakan dari segi penguatkuasaan. Berkemungkinan penguatkuasaan mengenai siapa yang tidak bayar tol akan diletakkan di bawah LLM,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan dalam Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Maslan menekankan bahawa pelaksanaan MLFF memerlukan pindaan peraturan, penyelarasan teknologi serta model penguatkuasaan baharu, walaupun sistem berkenaan dilihat sebagai langkah masa depan yang mampu mempercepat perjalanan dan mengurangkan kesesakan di plaza tol.
Katanya, LLM kini sedang mengemaskini keperluan teknikal, termasuk integrasi data, penstandardan peralatan, dan kaedah pengesanan kenderaan yang akan digunakan di bawah sistem MLFF.
Pelaksanaan MLFF dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan lebuh raya tanpa menjejaskan aliran trafik, serta memberi pengalaman tol yang lebih lancar kepada pengguna.






