SHAH ALAM, 17 NOV: Isu kebajikan dan kadar pendapatan rendah yang dibangkitkan wartawan di Sabah sebenarnya turut dialami pengamal media di seluruh negara, kata EXCO Lembaga Majlis Media Malaysia, Adie Suri Zulkefli.
Beliau berkata, sudah tiba masanya semua pihak mengetahui realiti sebenar dihadapi golongan media, yang turut berdepan dengan kenaikan kos sara hidup seperti rakyat lain.
“Sebenarnya bukan sahaja di Sabah, tetapi ia dihadapi industri media negara. Sejak 10 tahun lepas, kebanyakan gaji wartawan semakin merosot dan industri ini satu-satunya yang menjadi semakin kecil.
“Ini realiti yang menyedihkan. Kami bertemu orang ramai bertanyakan mengenai isu kos sara hidup, gaji minimum dan sebagainya tetapi industri media pun sebenarnya sedang tenat,” katanya kepada Media Selangor.
Adie Suri yang baharu dilantik sebagai Ahli Majlis Media Malaysia pada awal bulan ini berkata, beliau berhasrat menjadikan isu kebajikan dan pendapatan pengamal media antara agenda utama untuk dibincangkan serta diselesaikan secara menyeluruh.
Beliau turut menghargai usaha kerajaan membantu pengamal media sambilan menerusi pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan caruman i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Ini adalah permulaan yang baik dalam membela nasib para petugas media sambilan. Namun perhatian khusus juga perlu diberikan ke arah skim bayaran yang lebih adil dan sesuai dengan tanggungan kos sara hidup semasa oleh pengurusan semua organisasi media,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keprihatinan terhadap isu kebajikan dan kadar pendapatan rendah dalam kalangan wartawan Sabah yang masih membelenggu industri media tempatan.
Perkara itu dizahirkan selepas mendengar sendiri luahan lebih 50 pengamal media Sabah dan Semenanjung dalam satu pertemuan sempena lawatan rasmi beliau ke negeri berkenaan, semalam.
Antara yang dikongsikan termasuk kisah seorang wartawan berpengalaman hampir sedekad tetapi hanya menerima kadar gaji minimum, menggambarkan realiti mencabar dihadapi pengamal media di Sabah.




