SHAH ALAM, 17 NOV: Seramai 1,361 keluarga berpendapatan rendah dan sederhana sudah menikmati manfaat Skim Smart Sewa sejak skim berkenaan diperkenalkan kira-kira lapan tahun lalu, kata Dato’ Menteri Besar
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri secara tahunan memperuntuk dana bagi menambah unit kediaman di bawah skim berkenaan bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan menerima manfaat.

“Sejak Skim Smart Sewa dilaksanakan kira-kira lapan tahun lalu, secara tahunan Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah wang untuk menambah unit-unit bagi pastikan bekalan dapat memenuhi permintaan penerima yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil rakyat Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) merancang menambah unit Skim Smart Sewa daripada 1,199 unit sedia ada kepada 3,000 unit menjelang 2027.
Menurutnya, langkah itu melibatkan pembelian terus daripada pemaju atau melalui timbal balas daripada projek rumah khas Idaman dan Harapan.
“LPHS merancang membeli dan memperoleh unit tambahan Smart Sewa daripada 1,199 unit sedia ada kepada 3,000 pada 2027.
“Ia akan dilaksanakan menerusi pembelian unit daripada pemaju secara terus atau melalui timbal balas daripada pembinaan rumah khas e-khas yang dipanggil sebagai Idaman dan Harapan,” jelasnya.
Amirudin berkata daripada 239 peserta yang telah mencapai tempoh maksimum lima tahun, seramai 68 peserta menamatkan penyewaan kerana membeli rumah sendiri, berpindah ke tempat kerja baru atau tamat tempoh sewaan.
“Baki seramai 171 peserta telah menyambung tempoh penyewaan tambahan iaitu lanjutan maksimum dua tahun lagi bagi tahun keenam dan ketujuh.
“Tempoh sewaan tambahan ini dibenarkan di bawah syarat skim ini bagi memberi peluang lagi kepada penyewa yang masih belum mampu dan stabil dalam memiliki kediaman sendiri,” katanya.
Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan yang belum berpeluang memiliki Rumah Selangorku untuk menghuni rumah yang selamat dan selesa.
Menerusinya, penyewa diberikan tempoh minimum dua tahun dengan pulangan semula sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih apabila menamatkan tempoh penyewaan, manakala tempoh maksimum ialah lima tahun.






